Kamis, 20 Februari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » Umno Akan Terus Memartabatkan Islam

Umno Akan Terus Memartabatkan Islam


KUALA LUMPUR – Perjuangan memartabatkan agama Islam yang kini berdepan cabaran besar tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, bahkan wajib melibatkan seluruh umat Islam di negara ini.

Masyarakat Islam hari ini tidak boleh terlalu yakin bahawa parti politik menggunakan nama Islam berupaya melaksanakan segalanya berteraskan Islam.

Dangkal sekali tuduhan pihak tertentu yang menyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN), yang ditunjangi Umno, gagal memartabatkan agama Islam hanya semata-mata ia tidak memenuhi ‘selera’ mereka.

Persoalannya di manakah aspek yang tidak didaulatkan kerajaan dalam memartabatkan syiar Islam di bumi Malaysia?

Malaysia diiktiraf oleh negara luar sebagai model negara Islam terbaik, selepas melihat kepada pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan adalah selaras dengan tuntutan Islam.

Ini termasuklah penubuhan insitusi pengajian tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1983 yang melahirkan ribuan siswazah, dan kini mengamalkan ilmu Islam dalam pelbagai disiplin seperti undang-undang sivil dan syariah, ekonomi, sains kemanusiaan dan kejuruteraan.

Bukan itu sahaja, Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan pada 1963, bagi memudahkan urusan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima adalah manifestasi kesungguhan kerajaan BN memenuhi kebajikan umat Islam di Malaysia sehingga ingin dicontohi banyak negara lain.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata Umno amat komited memartabatkan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi dan usaha itu tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.

Katanya banyak kejayaan dilakar kerajaan BN melalui usaha memartabatkan Islam seperti sistem perbankan dan kewangan Islam yang dipelopori Malaysia dan kini menjadi contoh negara luar mahupun bank asing, yang bertapak di negara ini.

“Di United Kingdom misalnya, Perdana Menteri David Cameron turut berminat menggunakan bon Islam (sukuk) untuk dilaksanakan mengikut keperluan mereka. Ini adalah antara kejayaan yang dilaksanakan Umno,” katanya kepada Bernama.

Adakah tidak menamakan sesuatu usaha dengan jenama Islam, bermakna ia tidak selaras dengan tuntutan Islam?

Mengulas persoalan itu, pendakwah bebas Mohd Fikri Che Hussain berkata memenuhi kebajikan rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, memberi kemudahan air, elektrik, rumah, masjid, surau dan jalan meskipun tidak dilabelkan dengan jenama Islam, sebenarnya adalah perkara yang dituntut dalam Islam.

“Sekarang, saya tengok Umno mula melihat ke arah aspek agama apabila orang yang bukan ahli ditawarkan tempat yang tinggi dalam parti. Maksudnya, Umno semakin serius berjuang memartabatkan Islam dan saya fikir melantik Ustaz Mohammad Kazim Elias adalah keputusan yang bijak dan tepat,” katanya.

Pada 29 Nov lepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Ustaz Kazim adalah antara sembilan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik bagi melengkapkan jumlah 13 Majlis Tertinggi tambahan yang diputuskan Presiden Umno mengikut Fasa 9.2.8 Perlembagaan Umno.

Ustaz Kazim, yang mengumumkan keluar PAS pada Isnin lepas, bagaimanapun menolak pelantikan sebagai MT Umno dua hari kemudiannya kerana mahu menjadi pendakwah yang boleh bergerak bebas dalam usahanya memartabatkan perpaduan umat Islam negara ini.

Untuk tidak mengecewakan Perdana Menteri, Ustaz Kazim semalam mencadangkan tiga nama calon untuk menggantikan dirinya sebagai anggota MT.

Selain itu, keseriusan Umno dalam memartabatkan Islam juga dizahirkan melalui Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya yang mencadangkan supaya diwujudkan satu institusi khas untuk memelihara teks hadis dalam usaha mengekang penyebaran hadis palsu, yang disokong penuh Ab Aziz dan Mohd Fikri.

Mengulas cadangan Fathul Bari, kedua-dua mereka bersetuju supaya ditubuhkan institusi berkenaan bagi membolehkan pakar hadis menganalisis kesahihan sesuatu hadis sebelum sampai di pasaran.

Ab Aziz berkata kewujudkan institusi itu kelak mampu mengeluarkan penterjemahaan hadis yang standard supaya ia tidak mengelirukan masyarakat Islam di negara ini.

Mohd Fikri pula berpandangan ia mampu mengekang fahaman seperti Syiah, yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, daripada terus menular di negara ini. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar